3 Rapper Melayu

SSK ataupun Serius Selamba Krew adalah kumpulan rap melayu yang dianggotai oleh tiga anak muda iaitu NBE (emcee), Saph (emcee & produser) dan Jocular (DJ). SSK ditubuhkan lewat 2007, mereka mempertaruhkan irama rap dan pada masa itu muzik anak muda Malaysia sedang dimonopoli genre rock hanya kerana minat mereka yang mendalam di dalam muzik rap ini. 

SSK bernaung di bawah salah satu krew hip hop independent tersohor di Malaysia, The Rogue Squadron, yang turut dianggotai oleh The Rebel Scum, Jin Hackman, Mic Wrecka, Schizzow dan ramai lagi. Mengambil berat soal kreativiti dan kelainan di dalam lirik dan lagu, mereka berharap agar dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap muzik rap yang sering dikaitkan dengan gangsterisme, dadah dan wanita.

SSK menghasilkan lagu-lagu rap melayu yang didendangkan di dalam bahasa pasar kerana bagi mereka ia adalah bahasa yang dituturkan oleh rakyat Malaysia di dalam kehidupan seharian, maka muzik dan lagu-lagu mereka akan lebih mudah difahami dan diterima orang ramai.

Berpengalaman beraksi di konsert-konsert kecil sekitar Malaysia ,Singapura dan juga di kaca televisyen, SSK sedang di dalam proses menghasilkan EP/Mini album pertama mereka yang bertajuk RM (Rap Melayu). Menulis lirik dan manghasilkan separuh daripada beat didalam album sendiri, lagu-lagu SSK berkisar tentang pengalaman hidup mereka dan juga rakan-rakan. 

Tidak hanya menumpukan stail lirik mereka kepada subjek battle atau metaforikal, SSK cuba untuk memberikan variasi di lagu-lagu yang mereka hasilkan.Turut dibantu oleh beberapa emcee seperti Sipanitera daripada Pendeta, Wordsmanifest, hqa dan Illson daripada The Rebel Scum, Illevate daripada Poetry Phalanx dan juga duo ‘spoken word’ Dizzy and The, album ini dijangka dapat mengegarkan industri muzik Malaysia dengan lagu-lagu seperti “Cemburu Kerana Rindu”, “Lagu Chenta”, “Do It” dan “ATFL”.

Artikel disediakan oleh:-
Lara Cleopatra
Damansara, Kuala Lumpur