BUNKFACE PENCETUS KEJAYAAN
Siapakah Bunkface? Bunkface merupakan sebuah kumpulan muzik yang berasal daripada Klang, Selangor. Ditubuhkan oleh 4 sekawan baik iaitu Sam selaku Vokal Utama dan pemain Gitar, Paan selaku pemain Gitar, Youk selaku Vokal Latar dan pemain Bass dan juga Biak selaku pemain Drum. Nama ‘Bunkface’ diberi hasil cetusan idea daripada Biak menggunakan tajuk lagu “Crazy Amanda Bunkface” yang dibawakan oleh kumpulan idola mereka Sum 41. Secara jelasnya Bunkface hanya mempunyai 3 ahli tetap sahaja selepas pengunduran Biak dan Jabar. Beberapa orang sessionist telah dipanggil untuk mempelbagaikan perisa di dalam kumpulan. Antara yang pernah dan masih terlibat dengan Bunkface adalah seperti Ejam (Coda), Gjie (6ixth Sense/Akim & The Majistret), Wan (6ixth Sense) dan juga Wawa (Oh Chentaku).
Daripada sesi jamming biasa-biasa sahaja karier muzik mereka dimulai setelah menJuarai pertandingan Band Rakan Seni Budaya anjuran Universiti Malaya. Acara tersebut yang mendapat tajaan dari majalah muzik terkemuka ROTTW juga turut memuatkan ceritera Bunkface di dalam majalah itu. Pada masa ini Piko (Marionexxes) yang menjadi pengurus acara terus mencadangkan nama Bunkface kepada komuniti muzik Internet Demoplanet.tv bagi tawaran penajaan untuk membuat Video Muzik. Dan jika tidak salah lagu “Tired Mission” merupakan VM pertama Bunkface. Pada penghujung tahun 2006 barulah nama Bunkface lebih dikenali ramai setelah menyertai pertandingan realiti Blast Off.

Sekitar penghujung tahun 2007 Bunkface telah melancarkan EP mereka berjudul ‘Lesson of the Season’ yang memuatkan sebanyak 6 buah lagu berBahasa Inggeris. Boleh di banggakan juga kerana ke-6 buah lagu tersebut menjadi siulan ramai peminat muzik ketika itu. Tahun 2008 pula buat pertama kali mereka telah mengeluarkan single Melayu pertama bertajuk “Situasi”. Lagu ini pada mulanya mahu dirakamkan ke lirik Bahasa Inggeris, namun atas cadangan Youk yang menyarankan agar lagu tersebut dibuat ke lirik Bahasa Melayu ternyata tidak menghampakan. Kedua buah lagu “Silly Lily” dan “Situasi” ternyata semakin mendapat tempat di dalam industri muzik tempatan bilamana lagu-lagu tersebut terbukti mampu bertahan selama berminggu-minggu dicarta-carta stesen radio tempatan. Populariti kedua buah lagu ini juga masih lagi bertahan sehingga sekarang.
Bunkface juga turut berjaya menambahkan kepopularan mereka apabila berjaya merangkul Anugerah bagi kategori Break Out Award, Rockstar Award dan The Ultimate Shout! Award di acara urban Shout! Awards pada tahun 2009. Kemenangan besar mereka ini telah menarik perhatian pihak penganjur One Movement For Music Perth (OMFM) dari Australia untuk mengundang Bunkface membuat persembahan di Perth. Bererti ini merupakan persembahan pertama mereka diluar negara.

Bunkface telah turut menyertai kempen Everyone Connects anjuran TM dimana lagu temanya “Through My Window” telah diperdengarkan secara misteri sebelum berjaya di dedahkan identiti mereka. Selain Bunkface beberapa artis tempatan lain turut melibatkan diri di dalam kempen ini. Pada tahun 2010 Bunkface telah melancarkan album pertama mereka berjudul ‘Phobia Phoney’. Album ini memuatkan sebanyak 10 buah lagu. Album yang berisi 6 buah lagu Bahasa Inggeris dan 4 buah lagu Bahasa Melayu ini juga turut menampilkan lagu hits mereka seperti “Bunk Anthem”, “Prom Queen”, “Soldier”, “Escape Dance”, “Situasi”, “Revolusi”, “Extravaganza” dan “Dunia”.
Pada waktu ini kecoh di media-media cetak dan elektronik serta peminat-peminat muzik bila timbulnya persoalan mengatakan Sam akan meninggalkan Bunkface. Menafikan sekerasnya Sam menjelaskan salah faham tersebut, namun tidak mengelak juga apabila dia mengakui akan menubuhkan sebuah kumpulan sampingan yang lain. Tujuannya sekadar ingin mencuba angin baru tetapi untuk keluar dari Bunkface tidak mungkin sama sekali.
Tahun 2011 Bunkface selaku wakil dari Malaysia telah berjaya terpilih untuk menempatkan diri ke peringkat akhir Festival Musik Asia Hong Kong (HKAMF) yang telah diadakan di Hong Kong Exhibition & Convention Centre, Hong Kong. Acara yang dianjurkan oleh IFPI di Hong Kong ini telah melayakkan Bunkface memenangi tempat ketiga keseluruhan dalam pemarkahan untuk persembahan pentas dan persembahan vokal di festival ini. Bunkface juga turut berkesempatan menghasilkan Muzik Video untuk lagu “Dunia” di Hong Kong sepanjang keberadaan mereka disana.

Bunkface turut melebarkan sayap mereka ke negara jiran Indonesia apabila telah mendapat peluang untuk membuat persembahan di acara seperti Indonesia Makassar Pesta, Jakarta Urbanfest 2011 dan juga Hard Rock Cafe Jakarta. Mereka juga telah menerima penghormatan khas apabila dijemput untuk muncul di talk show popular Indonesia Bukan Empat Mata. Penerimaan muzik Bunkface disambut dengan cukup positif serta menggalakkan oleh peminat muzik Indonesia.
Tahun 2012 Bunkface telah melancarkan album kedua mereka berjudul ‘Bunk Not Dead’. Album ini mengandungi sebanyak 13 buah lagu yang terdiri daripada 9 buah lagu Bahasa Inggeris dan 4 buah lagu Bahasa Melayu. Lagu popular mereka untuk album ini adalah seperti “More”, “Panik”, “Agenda Jahilliah”, “Jatuh” dan “Kita Perang Kita Menang”. Album kedua ini walaupun tidak berapa menggalakkan penerimaannya tetap juga ada keistimewaan tersendiri. Istimewanya sebelum MV lagu “Dunia” dapat dipertontonkan di YouTube, hanya pembeli album BND sahaja yang dapat menonton MV tersebut menerusi aplikasi khas. Album kurang mendapat sambutan ianya tidak mematahkan semangat Bunkface apabila mereka turut merangka mini tour diberi nama ‘Bunkface Bunk Not Dead Tour 2013’ yang telah dilaksanakan pada tahun 2013.
Album ‘Malam Ini Kita Punya’ telah dilancarkan pada tahun 2014. Album ketiga yang memuatkan sebanyak 7 buah lagu + Bonus Track ini merupakan album penuh berBahasa Melayu Bunkface. “Rentak Laguku” duet bersama Amy Search, “Malam Ini Kita Punya” dan “Goyang” antara lagu yang menjadi siulan ramai. Tahun 2015 Bunkface lebih kepada mempromosikan single/MV mereka seperti “Darah Muda” dan “Huawei Bestwei” selain aktif menerima persembahan pentas.
Selain mempromosikan single “Warnai Dunia” untuk F&N tahun 2016 merupakan tahun yang istimewa buat Bunkface. Bersempena ulang tahun ke-10 dan sebagai penghargaan terima kasih mereka buat peminat yang selama ini setia menyokong sebuah konsert diberi nama ‘Bunkface X’ telah diadakan. Sebuah album kompilasi yang diberi judul yang sama juga turut dilancarkan. Album kompilasi yang mengandungi sebanyak 20 buah lagu ini turut memuatkan OST filem BoBoiBoy: The Movie “Masih Disini”. Lagu “Orang Kita” juga turut diberikan nafas baru berduet bersama penyanyi Amir Jahari.

Kumpulan Bunkface tidak pernah sunyi daripada menerima tempahan untuk membuat persembahan. Tahun 2017 selain sibuk beraksi dipentas mereka juga sedang sibuk di studio mengumpulkan material baru untuk album terbaru yang akan dikeluarkan pada tahun hadapan. Untuk album terbaru ini nanti menurut kata Bunkface akan lebih ke lagu berBahasa Inggeris. Bila difikirkan kembali sudah agak lama juga mereka tidak mengeluarkan lagu Bahasa Inggeris. Selain itu juga mereka turut mempromosikan single/MV “Kembalii” versi 2.
Selain berjaya dengan pengiktirafan serta penghargaan dalam karier muzik Bunkface turut berjaya di dalam perniagaan. Kedai/Studio yang diberi nama BF Rockstation selain dijadikan tempat jamming dan rakaman, turut menjual cenderamata daripada artis tempatan yang lain. Mereka juga telah mengeluarkan produk baju dan minyak wangi keluaran sendiri atas jenama The Bunks dan Bunkface Perfume.
Bermula daripada bawah, pengalaman pahit manis serta liku-liku kesukaran ditempuhi dengan penuh kesabaran, akhirnya mendatangkan hasil yang mampu dibanggakan. Berjaya mengibarkan sayap serta melakukan persembahan sehingga ke luar negara adalah impian yang tertunai. Pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan mampu membuatkan Bunkface gah berada di aras kedudukan mereka yang tersendiri. Inilah antara contoh kumpulan muzik yang tetap dengan ‘ketegasan’ mereka. Tidak mudah ‘goncang’ dengan pembaharuan-pembaharuan yang berlaku disekeliling mereka serta tidak takut untuk mencuba sesuatu yang berbeza.
By:-
AIEN