Colabr8 bergerak Solo

Siapa tidak kenal pada kumpulan rapper yang menamakan diri mereka sebagai Colabr8 terus setia dengan genre hip hop yang diusung sejak mula memasuki beberapa pertandingan nyanyian pada tahun 2005. Meskipun nama mereka tidaklah sebesar mana, namun kewujudan mereka tetap dirasai terutama selepas memasuki program realiti Gangstarz yang lalu.

Bermula dengan empat orang ahli Chen Kwan Wen (KW), 22, Chen Kwan Sheng, (KS), 22, Ikhwan Hariz Abdul Rani (24) dan Muhd. Hazwan Jasmi, (Wan-D), 23, kini perjuangan Colabr8 hanya diteruskan oleh Ikhwan Hariz atau dikenali sebagai Ariz. Bukan kerana mereka sudah tidak sehaluan ataupun bertengkar, namun pemergian mereka semata-mata mahu melihat nama Colabr8 terus maju.

Pada mula mereka berempat tetapi disebabkan KS dan KW bekerja di Pulau Pinang menyukar untuk mereka memberikan komitmen dan akhirnya mereka menarik diri. Selepas itu hanya tinggal Ariz dan Wan-D, mereka teruskan perjuangan Colabr8 dan Wan-D juga ada terlibat dalam pembikinan album. Namun, Wan-D mengambil keputusan untuk keluar daripada Colabr8 atas sebab peribadi.

Walaupun bergerak secara solo tetapi Ariz tetap membawa nama Colabr8 ke mana sahaja dia pergi kerana baginya meskipun tidak lagi bersama anggota lain, semangat Colabr8 tetap wujud. Ariz menjelaskan lagi bahawa pembikinan album yang telah berjalan harus disiapkan juga walaupun tanpa Wan-D dan kini Ariz boleh berbangga dengan kemunculan album yang berjudul 1212.