KUMPULAN SEGI BAKAL LANCAR SINGLE TERBARU “PERISAI JIWA”

Sebagai sebuah kumpulan muzik bebas atau indie, Segi kini ingin melangkah kehadapan walaupun akui keadaan sedikit sukar buat mereka memandangkan terlalu banyak peraturan dan halangan yang berlaku. Namun begitu, ia tidak mematikan semangat kedua-dua anggota kumpulan Segi iaitu Shidi sebagai vokalis dan pemain gitar serta Ismail sebagai pemain bass untuk menyiapkan naskah terbaharu mereka yang diberi judul “Perisai Jiwa”
Lagu ini membawa cerita tentang
keadaan semasa yang sukar dan kusut dek kerana wabak yang melanda disamping keadaan sosial dan pentadbiran yang tidak menentu. Kumpulan Segi bukan hanya mengakui tentang keadaan semasa dan mengkritiknya, malah lebih kepada berharap agar setiap dari kita menerapkan nilai positif dan niat yang lebih murni dalam bergerak kehadapan. Itulah yang diletakkan dalam penghasilan karya ini, hasrat agar setiap individu yang mendengar karya ini dapat melahirkan keinginan untuk memperbaiki diri sendiri seterusnya menjadikan ia kekuatan untuk melangkah keluar dari kekusutan yang berlaku.
Karya ini telah dihasilkan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan dan juga plan pemulihan negara dimana kumpulan Segi terpaksa melakukan hampir keseluruhan rakaman melalui penggunaan alatan rakaman sendiri. Turut memberi kerjasama dalam menyiapkan karya ini adalah pemuzik studio dan juga pemain drum bagi kumpulan Flop Poppy iaitu Bakri Ismail melalui khidmat rakaman di studio miliknya sendiri. Kerja-kerja adunan muzik pula telah dilaksanakan oleh jurutera audio berpengalaman iaitu Hafiz Ahmad dan kesemua ini dilaksanakan secara talian atau virtual sahaja tanpa bersemuka. Ia bukanlah sesuatu yang baharu, namun ia merupakan sebuah pengalaman yang unik bagi kumpulan Segi yang jelas masih mentah dalam industri muzik tanah air.
Muzik baharu ini bakal disajikan melalui semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, Youtube dan lain-lain bermula 27 Ogos 2021. Sebuah muzik video juga bakal dikeluarkan dalam waktu sama dan ia diharap dapat dikongsikan kepada penyokong muzik tempatan sebagai buah tangan visual yang dapat dijadikan sebagai makanan jiwa hasil dari keringat dan usaha anak tempatan. Kumpulan Segi berharap keadaan akan menjadi bertambah indah pada masa akan datang dan segalanya akan berkakhir dengan baik tidak lama lagi.