Stellar

Nama Stellar mungkin agak janggal kedengaran bagi sesetengah peminat industri tanah air. Bagi mereka yang masih belum mengenali Stellar pasti ada yang membayangkan Stellar adalah gadis cantik dengan susuk tubuh menawan. 

Namun di sebalik nama Stellar, berdirinya empat orang anak muda, Bard (gitaris), Amy (vokalis) Ristoe, (drumer), dan Kayrol Naim (base) yang berkongsi visi dan misi untuk berjaya di dalam industri muzik tanah air. 

Menurut ketua kumpulan itu, Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Abdullah, idea untuk menubuhkan kumpulan Stella timbul di atas keazamannya yang ingin memiliki band sendiri. 

“Sebelum penubuhan Stella, saya terlebih dahulu bergerak secara solo. Tetapi saya rasa lebih lengkap dan seronok jika ada band sendiri. Jadi saya adakan beberapa sesi ujibakat untuk mencari ahli kumpulan. 

“Mulanya saya bertemu dengan Amy yang memiliki vokal yang cukup mengagumkan. Seterusnya dipertemukan dengan Kayrol, dan Ristoe yang cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing,” katanya yang telah menubuhkan Stella sejak dua tahun lalu. 

Mengulas tentang pemilihan nama Stellar yang membawa maksud, penghibur yang hebat, Bard berkata, ia sangat bersesuaian dengan cita-cita dan tujuan penubuhan kumpulannya itu. 

Bukan sekadar omongan kosong, mereka kini berjaya melahirkan album sulung ‘Kisah Bintang Pecinta’ yang memuatkan 10 buah lagu, sekali gus menjadi bukti kesungguhan mereka untuk bertapak dalam industri seni. 

Dengan mempertaruhkan single pertama, ‘Akanku Sebut Namamu’, keempat-empat anak muda ini berharap agar ia dapat memperkenalkan ‘Stella’ di mata peminat. 

“Menerusi album ini, kami memperjuangkan konsep Urban Rock Melayu dan kami percaya lagu-lagu genre ini masih ada peminatnya. Jika tidak masakan kebanyakan radio kerap memutarkan lagu-lagu jenis ini,” kata Bard yang pernah menganggotai kumpulan The Muffins. 

Antara lagu lain yang terkandung dalam album sulung Stella adalah seperti, Anarkis, Sebuah Kisah Sedih, Saat Aku Kehilanganmu, Dirimu, Sebelum Nafas Terhenti, Wanita, Hanya Kamu, Rebah dan Tak Mampu Melayang.